Monday, May 08, 2006

Selamat datang aktor baru ruang sivil

Tun Dr Mahathir terus memahat namanya dalam politik tanahair. Boleh diibaratkan bakal menjadi seorang lagenda politik di negara ini, beliau terus menjadi tumpuan utama dalam senario politik Malaysia. Beliau seoalah-olah memberi isyarat bahawa penyerahan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO bukan membawa erti untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran dan juga politik semasa. Bermula dengan komen bahawa pemerintah sekarang lemah kerana tidak mempunyai pembangkang yang kuat (merujuk kepada kemenangan besar BN dalam pilhan raya 2004), Dr Mahathir terus menggunakan kapasitinya, seperti yang sering dinyatakan beliau, sebagai seorang rakyat biasa yang mempunyai hak untuk bersuara, untuk mempersoalkan beberapa tindakan pemerintah atau lebih tepat lagi jentera pimpinan Pak lah.

Apa yang menarik untuk dibincang ialah bagaimana Dr Mahathir telah menggunakan ruang yang sentiasa dianggap sebagai ancaman kepada pemerintahannya dahulu iaitu ruang sivil untuk menghantui Perdana Menteri yang direstui untuk menggantikan beliau. Masyarakat sivil yang mudah difahami dalam konteks demokrasi negara ini ialah bagaimana individu-individu dan NGO mempunyai kebebasan untuk berkongsi kepentingan dan menyuarakannya untuk kepentingan mereka. Ruang ini sebenarnya cukup bermakna untuk menjelmakan konsep demokrasi walaupun terdapat pendekatan daripada golongan Marxis bahawa masyarakat sivil merupakan satu agen untuk menukar kerajaan yang sedia ada. Namun, pengamal masyarakat sivil di negara ini menyerahkan urusan perebutan kuasa politik kepada parti-parti politik.

Perjalanan masyarakat sivil semasa pemerintahan beliau seringkali dikritik oleh pengamal-pengamal ruang ini dan juga parti pembangkang. Peringkat awal pemerintahan beliau diserikan dengan pembebasan beberapa orang tahanan ISA tetapi beliau mula melihat bagaimana ruang sivil yang ada di negara ini sebagai satu ancaman besar kepada pemerintahan BN apabila Operasi Lalang 1987 telah menafikan kebebasan beberapa aktivis sosial dan politik di negara ini. Akta-akta seperti ISA dan OSA cukup membebankan aktor-aktor sivil dan politik di Malaysia. Ia cukup untuk membuktikan bagaiman masyarakat sivil ini sentiasa diawasi oleh pemerintahn Dr Mahathir.

Oleh itu, apa yang dapat diperhatikan pada perkembangan mutakhir penglibatan Dr. Mahathir dalam menyuarakan pandangan beliau terhadap beberapa isu penting dalam pemerintahan Pak Lah dapat menjelaskan bagaimana beliau menggunakan senjata yang sering mencucuk beliau untuk turut sama dirasai Pak Lah. Isu berkenaan dengan penjualan saham augusta milik proton, pengagihan AP dan yang terkini berkenaan dengan pembatalan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor telah memeriahkan masyarakat sivil di negara kita. Isu ini berlanjutan apabila Dr. Mahathir telah menyatakan bagaimana beliau telah dinafikan hak untuk bersuara. Ini berpunca daripada keengganan pengamal media utama di negara ini yang kebanyakannya dimiliki oleh parti-parti di bawah BN untuk menyiarkan komentar beliau. Sebagai alternatif, beliau telah menggunakan internet sebagai saluran untuk meluahkan pandangan melalui beberapa surat terbukanya yang dituju khusus kepada pemerintah sekarang.

Dr. Mahathir nampaknya banyak belajar daripada pergerakan sivil yang lain dalam mengamalkan advokasi sosial yang mana pada tahun 1990-an internet menjadi ruang yang paling berkesan untuk melontarkan kritikan sosial dan politik terhadap pemerintah. Dalilnya, semasa pemerintah beliau, sebagai contoh, Malaysiakini seringkali diancam dan kemuncaknya pejabat Malaysiakini telah diserbu polis dan beberapa komputer telah dirampas. Ini kerana media alternatif ini sering memuatkan bukan sekadar berita tetapi ulasan yang kritikal terhadap beberapa tindakan pemerintah. Sejarah berulang, Dr M telah memilih untuk menggunakan ruang siber ini bagi mempertahankan kepentingan legasi pemerintahannya dahulu setelah dipinggirkan oleh media arus perdana.

Untuk seketika, kita lupakan kenangan masyarakat sivil ketika zaman Dr. Mahathir. Mari kita meraikan kedatangan aktor baru masyarakat sivil, aktor yang mungkin dapat memberi udara segar untuk ruang ini terus berlegar dalam meletakkan kepentingan rakyat sebagai pusat utama pemerintahan regim BN.

No comments: