Tuesday, July 18, 2006

Ke Makam Bonda

Ke Makam Bonda

Kami mengunjungi pusara bonda,
Sunyi pagi disinari suria,
Wangi berseri puspa kemboja,
Menyambut kami mewakili bonda.

Tegak kami di makam sepi,
Lalang-lalang tinggi berdiri,
Dua nisan terkapar mati,
Hanya papan dimakan bumi.

Dalam kenangan kami melihat,
Mesra kasih bonda menatap,
Sedang lena dalam rahap,
Dua tangan kaku berdakap.

Bibir bonda bersih lesu,
Pernah dulu mengucupi dahiku,
Kini kurasakan kasihnya lagi,
Meski jauh dibatasi bumi.

Nisan batu kami tegakkan,
Tiada lagi lalang memanjang,
Ada doa kami pohonkan,
Air mawar kami siramkan.

Senyum kemboja menghantar kami,
Meninggalkan makam sepi sendiri,
Damailah bonda dalam pengabdian,
Insan kerdil mengadap Tuhan.

Begitulah bakti kami berikan,
Tiada sama bonda melahirkan,
Kasih bonda tiada sempadan,
Kemuncak murni kemuliaan insan.

Tuesday, July 04, 2006

AUKU dan pelajar

Ahad lalu, Menteri Pengajian Tinggi menunjukkan keinginan untuk mendapatkan maklum balas dari beberapa pihak bagi meminda AUKU. Ia merupakan satu langkah yang harus diberikan sokongan sepenuhnya. Sebenarnya, isu AUKU ini sepatutnya sudah lama dibincangkan secara terbuka apabila kita melihat bagaimana krisis pendidikan di negara ini yang dilihat tidak mencapai objektifnya untuk melahirkan pelajar yang mempunyai pemikiran yang kritikal. Menurut Prof Madya Azmi Shahrom, AUKU sememangnya menyekat kebebasan pelajar-pelajar pintar untuk berpersatuan dan melahirkan pandangan yang kritikal terhadap mana-mana pihak. Akta ini, perlu dipinda kerana ada beberapa seksyen seperti seksyen 15, 15D dan 16C yang menyekat kebebasan pelajar untuk menjadikan universiti sebagai medan mereka memberikan sumbangan kepada rakyat dan pemerintah mengikut aspirasi apa yang diajar dalam setiap kuliah yang diikuti. Tiada sebab untuk pelajar mengkritik kerajaan dari sudut takrifan demokrasi yang mereka belajar di dalam kelas berdasarkan prinsip sebenar ideologi tersebut kerana ia merupakan satu bentuk praktikal dalam ilmu sains sosial. Apa yang kita sepatutnya bimbang ialah apabila pelajar berdiam diri apabila melihat sesuatu yang bercanggah dengan apa yang dipelajarinya