Wednesday, May 23, 2007

BLOG DAN PILIHAN RAYA KECIL IJOK

Kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat memberikan impak yang besar kepada perkembangan sosio-politik masa kini. Teknologi ini digunakan semakin meluas di kalangan masyarakat yang mempunyai capaian dan kemahiran penggunaaannya. Senario politik terkini di negara kita telah menampakkan bagaimana penggunaan beberapa saluran internet menjadi antara alternatif utama dalam menggerakkan advokasi sosial dan politik. Pilih raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok pada 28 April 2007 yang lalu membuka lembaran baru pertembungan di alam maya melalui penulisan dalam blog. Lebih dari itu, penulis-penulis blog ini telah turut sama turun ke Ijok untuk mendapatkan maklumat primer dan seterusnya dimuatkan dalam blog masing-masing.

Pilihan raya kecil yang menyaksikan pertembungan antara wakil MIC dalam Barisan Nasional K. Partiban dengan pemimpin PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim telah memihak kepada wakil Barisan Nasional dengan majoriti sebanyak 1850 undi. Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya Malaysia, liputan meluas telah diberikan melalui laporan dan analisa yan dilakukan oleh para penulis blog di Malaysia. Dari segi rekod, sebenarnya sejak pilihan raya umum ke 10 pada tahun 1999 dan ke 11 pada tahun 2004, kehadiran penulis blog dan liputan media internet telah mula mendapat tempat di kalangan pemerhati politik. Tetapi apa yang berlaku di Ijok ini menunjukkan ruang demokrasi semakin meluas dan penyertaan masyarakat yang sebahagianya bersifat apolitikal telah berubah. Mereka menunjukkan penyertaan melalui tulisan dalam blog masing-masing.

Namun begitu, kemeriahan alam blog ini tidak mencerminkan kedudukan dan keputusan sebenar pilihan raya kecil tersebut. Ini kerana blog-blog yang menonjol seperti Roslan SMS Corner,Ijok2007 dan Screenshots kebanyakannya lebih memihak kepada pembangkang dan isu-isu yang diutarakan cuba mencari kelemahan pemerintah tetapi orientasi isu-isu tersebut tidak sampai kepada golongan majoriti pengundi-pengundi di Ijok. Selain itu, walaupun penulis-penulis blog ini turut sama pergi ke Ijok, tetapi hanya sebahagian sahaja yang turut sama berkempen.

Bagi pihak Barisan Nasional pulak, pertembungan di Ijok menunjukkan parti komponen yang memerintah negara sejak merdeka ini tidak ketinggalan dalam menggunakan internet, khususnya blog ini bagi menyampaikan informasi terkini kepada rakyat dan juga menafikan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh parti pembangkang. Kewujudan beberapa blog yang aktif sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Ijok menjadi medan kepada mereka untuk turut sama memainkan isu-isu yang dibincangkan dalam ruang maya. Perkembangan ini telah menambahkan lagi pluraliti informasi dalam ruang siber.

Barisan Nasional yang sebelum ini tidak memberikan fokus utama kepada aktiviti blog dalam menyampaikan citra pemerintah mula berganjak untuk menggunakan medium ini. Antara isu-isu utama yang menjadi liputan utama penulis-penulis blog sepanjang pilihan raya kecil ini ialah penglibatan penasihat parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadi tumpuan utama di Ijok di mana setiap kali ceramah yang disampaikan oleh beliau mendapat sambutan hangat. Namun begitu, keputusan bekas timbalan perdana menteri yang menyerang peribadi Timbalan Perdana menteri tidak dapat diterima oleh beberapa aktor utama ruang siber. Pada pertengahan kempen, terdapat beberapa penulis blog yang sebelumnya mengalu-alukan penyertaan beliau dalam kempen di Ijok, mula menkritik cara beliau memainkan isu yang disifatkan tidak sesuai dimainkan di peringkat masyarakat di Ijok.

Ruang maya yang sebelum ini cukup sinonim dengan parti pembangkang yang menjadikan ruang tersebut sebagai saluran alternatif dengan alasan media cetak dan media massa yang sedia ada tidak berlaku adil kepada mereka tidak boleh memandang ringan isu-isu yang dimainkan melalui saluran internet. Ini kerana masyarakat dalam era informasi teknologi ini mempunyai pilihan yang luas dalam menilai setiap isu yang diketengahkan. Isu politik yang tidak menekankan perubahan positif kepada masyarakat dan berbentuk peribadi tidak dapat membentuk persaingan politik kepartian yang berobjektif. Selain itu, sokongan yang diraih melalui alam siber tidak menunjukkan sokongan sebenar di akar umbi atau dengan kata lain pengundi di Ijok masih bergantung kepada kempen-kempen tradisional dan isu-isu pembangunan dan masalah setempat menjadi pilihan utama. Pilihan raya di Ijok layak untuk kita menggelarkan Parti Keadilan Rakyat sebagai sebuah parti alam maya (virtual party) berdasarkan sokongan yang diperolehi melalui penulis-penulis blog dan juga kempen-kempen melalui internet.

Advokasi sosial dan politik ini menjanjikan masa depan yang cerah dalam proses demokrasi di Malaysia. Penguasaan parti pembangkang dalam ruang maya mungkin bakal menjadi senjata utama dalam pilihan raya umum akan datang kerana ianya melibatkan semua rakyat terutamanya yang berada di bandar-bandar dan menikmati kemudahan capaian internet. Oleh itu, parti pemerintah sekarang perlu turut sama mengambil peluang ruang alternatif ini untuk menjadikan persaingan politik yang lebih terbuka.

3 comments:

Anonymous said...

I think malaysian still need to learn more about IT. If there know more about IT, they will easily exposed to blog and blogging as a rising medium of communications.

Just see if the next GE will influenced by bloggers ( unpaid reporters )...

Damantim said...

If you think this article worth to share, why not you manage to publish it in prime magazine or at least to newspaper ???

to me this is agood idea, maybe you can do the topic on Blog and issue in Ijok as a sample..means you rotate the idea from political perspective to ICT....

Just a suggestion...

Pak Cik Satu Dua said...

Already sent to Dewan Masyarakat, but not sure selected or not. I'm a beginner, warming up....