What is the definition of politics? Everything around us has a political element I think.....
This one was excerpted from Bernama:
Blog politik mesti didaftar: Zam
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyuarakan sokongan terhadap cadangan untuk mendaftarkan laman blog, terutamanya yang bersifat politik.Beliau berkata jika media arus perdana tertakluk kepada pendaftaran, pemantauan dan undang-undang tertentu, tidak ada sebab kenapa pengendali blog boleh dikecualikan.
"Kita mesti tahu siapa mereka, jadi mesti ada undang-undang yang akan menyebabkan mereka kita kenali," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau bagaimanapun berkata keperluan untuk mendaftarkan blog yang memuatkan hiburan atau komentar sosial mungkin tidaklah sebegitu besar sebagaimana blog yang didorong oleh politik.
"Apabila ada golongan politik yang hendak menggunakan blog untuk kepentingan politik atau seseorang pengendali blog yang mempunyai dorongan politik, maka kita harus kenal siapa dia.
"Politik adalah untuk mencari pengaruh di kalangan awam, politik adalah untuk mencari kuasa. Kalau kuasa, kita kena pergi kepada rakyat.
"Apabila kuasa pergi kepada rakyat, maka dia kena perkenalkan diri dia. Dia tidak jujur kalau dia menyembunyikan diri apabila dia bercakap tentang politik," katanya.
Zainuddin berkata untuk mencari kuasa politik, orang sanggup membuat fitnah dan juga menyebarkan hal-hal yang tidak benar, menggunakan sumber yang tidak disahkan atau tidak memeriksa sumber sesuatu maklumat.
"Maka ini adalah amat berbahaya sebab mereka menulis dan bertindak untuk mencari kuasa. Cita-cita mereka ialah untuk menjatuhkan kerajaan dan juga untuk mengembangkan fahaman politik mereka dan membantu mana-mana pihak untuk tujuan politik," katanya.
Zainuddin berkata beliau setuju dengan cadangan pemantauan dan pendaftaran seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.
Zainuddin turut membincangkan isu blog dan bagaimana pendekatan Singapura terhadap perkara itu ketika beliau menemui rakan sejawatannya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura, Dr Lee Boon Yang pagi tadi.
Zainuddin berkata Singapura mempunyai mekanisma pendaftaran bagi blog yang secara konsisten memuatkan tulisan politik.
Kata beliau, Singapura juga mempunyai rangka-kerja pelesenan secara kelas untuk mengawal selia media baru termasuk juga blog dan menaklukkan mereka kepada kod etika tertentu di bawah kawal seliaan Lembaga Pembangunan Media (MDA).
Pelesenan secara kelas secara amnya, membabitkan penggazetan terma dan syarat bagi sesuatu industri dan sesiapa sahaja yang menyediakan perkhidmatan dalam skop kelas lesen yang berkenaan, akan dianggap telah membaca terma dan syarat berkenaan dan dianggap telah dilesenkan.
Zainuddin berkata beliau berpendapat cara yang diguna pakai di Singapura adalah praktikal dan mungkin boleh diubah suai untuk di Malaysia.
"Kita akan tengok sama ada versi ini boleh dibuat di Malaysia, saya tidak tahu tapi saya rasa cara ini praktikal," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment